Hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah merasmikan pelancaran livery khas Harimau Malaya pada pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines yang juga merupakan Rakan Penerbangan Rasmi FAM di KLIA, Sepang.

Bahagian luar pesawat tersebut berwarna kuning sambil dihiasi dengan jalur merah bendera Malaysia dan lambang Harimau Malaya yang bermaksud kerjasama, kekuatan dan perpaduan antara jenama.

Reka bentuk livery ini dicipta oleh Dr Mohamed Razeef bin Abdul Razak dan Dr Verly Veto Vermol dari Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama FAM.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan secara rasmi livery pesawat Harimau Malaya edisi khas ini, mempamerkan dua jenama nasional yang dikenali, disayangi dan disokong oleh rakyat Malaysia di seluruh dunia.

“Sebagai pembawa bendera Malaysia tercinta, kedua-dua Malaysia Airlines dan FAM mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan kita dalam mewakili Malaysia di peringkat tertinggi dari segi keselamatan, disiplin dan komitmen terhadap kecemerlangan.

“Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat menyokong dan memudahkan perjalanan yang selamat dan lancar untuk pasukan bola sepak negara ketika mereka memulakan kejohanan utama merentasi destinasi di dalam dan di luar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail.

FOTO: FAM

Lebih menarik, pesawat tersebut turut akan digunakan untuk menghantar pasukan bawah 23 tahun negara ke Kemboja bagi menghadapi saingan Piala AFF B-23 yang bermula pada 14 Februari ini.

“Kami gembira apabila tidak lama lagi menerbangkan skuad B-23 melalui penerbangan Malaysia Airlines ke Phnom Penh, Kemboja untuk bersaing dalam Kejohanan AFF U23 2022,” katanya.

Untuk rekod, usahasama sebelum ini bermula daripada syarikat penerbangan itu menaja penerbangan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi final Piala AFF 2018 di Hanoi, Vietnam pada 2018. Kerjasama itu kemudiannya diteruskan sehingga kini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak